Kebanyakkan anak-anak muda yang baru ingin menceburi dalam bidang lomografi ini pasti menghadapi sedikit kesulitan, kerana kelompok golongan ini sukar mendapatkan pendedahan yang secukupnya secara "berguru" (face-to-face) dengan mana-mana jurulomo yang telah berpengalaman. Kekurangan jurulomo berpengalaman di Malaysia, jumlah kedai yang menjual peralatan lomogarfi yang sedikit, jumlah bahan rujukan atau majalah terhadap bidang ini yang terhad di pasaran dan juga lain-lain faktor menjadikan lomografi sedikit lambat untuk meresap ke dalam nadi masyarakat Malaysia. Namun begitu, komuniti lomografi sedia ada sememangnya amat teguh dan bersemangat untuk memperjuangakan bidang lomografi, dan komuniti ini kelihatan lebih banyak tertumpu di negeri-negeri bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan Kuala Lumpur.
Di Johor Bahru, kelab seperti Lomonatic-Joho telah berjaya memberi pendedahan yang sewajarnya kepada golongan yang baru ingin berjinak dengan dunia lomografi. Kelab ini telah mengadakan siri outing yang dinamakan Let Shoot untuk mengalakkan aktiviti ber-lomo dan saling berkenal-kenalan di kalangan peminat lomografi yang ada di sekitar negeri Johor. Aktiviti seperti ini sebenarnya dapat membantu memberikan pendedahan dikalangan peminat lomografi disamping dapat bertukar-tukar idea dan ilmu mengenai bidang ini.
Walaupun bidang lomografi ini masih terlalu mentah di Malaysia, namun begitu pelbagai usaha telah dijalankan oleh individu tertentu terutamanya Lomokids untuk menyebarkan dan menjadikan bidang ini sebagai aktiviti yang sihat dan bermatlamat. Bidang lomografi ini sebenarnya memerlukan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk memastikan jurulomo tidak mudah berputus asa dan cuma meminati bidang ini dalam tempoh masa tertentu sahaja, bak kata pepatah; Hangat-hangat tahi ayam.
Dalam merealisasikan impian yang murni, seharusnya kerajaan melalui beberapa kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia, seharusnya mengambil inisiatif untuk mengalakkan aktiviti seperti ini dengan penyediaan pelbagai aktiviti, bengkel, siri ekspo dan pameran untuk mengalakkan golongan muda terlibat dengan aktiviti yang jelas sihat ini. Melalui aktiviti seperti ini, golongan remaja dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak bermoral dan seterusnya dapat melatih kepekaan terhadap keadaan persekitaran.
Walau bagaimanapun, lomografi bukan sekadar bidang picisan yang dianggap cuma memenuhi kehendak nilai estetika pop art kerana sesungguhnya lomografi merupakan bidang yang memerlukan kesungguhan dan keazaman untuk menghasilkan foto yang kreatif dan unik dari pandangan dunia lomo, malah mampu memberikan sejuta kenangan indah ketika ber-lomo.
No comments:
Post a Comment