Pengikut

Friday, September 3, 2010

Pencetus Idea LOMOKIDS Malaysia (Keratan Akhbar Berita Harian)

MINAT personaliti XY – Ikon Lelaki minggu ini terhadap seni lomografi bukan sekadar menghabiskan masa berjam-jam mendapatkan foto terbaik. Bagi memperluaskan pengaruh seni lomografi, Mukhriz Abdul Latif mengusulkan idea membangunkan komuniti penggemar seni lomografi di Malaysia.


MINAT mendalam anak muda ini terhadap cabang seni fotografi, lomografi mendorong Mukhriz Abdul Latif, 28, menubuhkan komuniti yang menarik penyertaan lebih 6,000 ahli.

 Bagi yang tidak pernah mendengar keunikan seni lomografi, ia suatu cabang seni fotografi menggunakan kamera biasa dan khusus. Seni lomografi berteraskan prinsip bebas dalam merakam gambar, rekaan kamera tersendiri malah tampak seperti barang mainan serta hasil foto unik.

Biarpun pada mulanya idea menubuhkan komuniti lomografi tidak diberi perhatian serius penggemar lomografi tempatan, ia tidak menghalang Mukhriz meyakinkan mereka bergerak dalam komuniti sendiri. Akhirnya, ramai akur lalu tertubuhlah komuniti Lomokids melalui laman web www.lomokids.com.
Komuniti ini bergerak secara rasmi pada Jun 2006.

“Sebelum kemunculan Lomokids, memang sudah ada penggemar lomografi di Malaysia. Kita dapat lihat mereka melalui hasil lomografi yang dipaparkan di laman web jaringan sosial seperti Myspace.com.
 
Antara hasil LOMO oleh Mukhriz
 
“Namun, minat dan kreativiti mereka setakat itu saja kerana tidak begitu banyak ruang atau saluran bertukar pandangan mengenai seni lomografi atau melakukan aktiviti ini beramai-ramai.
“Disebabkan itu, saya fikirkan perlu sebuah komuniti ditubuhkan sebagai medan peminat lomografi berinteraksi,” katanya yang bangga menceritakan Lomokids kini memiliki lebih 6,000 ahli dengan 1,000 ahli bergiat aktif.

Terus bercerita, Mukhriz bangga populariti Lomokids meningkat. Malah, komuniti ini sering diundang menyertai acara besar. Lomokids juga menjalin hubungan baik dengan peminat lomografi di Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kata Mukhriz, bidang lomografi di Malaysia lebih pesat berkembang berbanding negara lain di rantau ini.


Ditanya sejauh mana Lomografi dan Lomokids mengubah hidupnya, Mukhriz yang bertugas sepenuh masa sebagai jurugambar di Syarikat CandidSyndrome berkata: 
 “Pembabitan saya dalam bidang ini bukan semata-mata bertujuan meluaskan jaringan. Saya mahu mencari pengalaman dan mendedahkan diri dengan perkembangan baru seni ini melalui interaksi dengan peminat lomografi di seluruh dunia.”

Tambah Mukhriz, beliau seronok melakukan pelbagai aktiviti bersama ahli Lomokids.
“Saya gembira melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan bersama rakan Lomokids. Ini kerana kami mempunyai minat serupa dan tiada hierarki dalam kumpulan ini. Semua orang beri sumbangan dalam membangunkan seni lomografi di Malaysia,” katanya.

Banyak lagi kisah menarik Lomokids diceritakan Mukhriz kepada XY-Ikon Lelaki – ikuti temubual ini…

Anda meminati bidang fotografi terutama seni lomografi. Boleh huraikan perbezaan antara fotografi dan lomografi secara teknikal? Antara kedua-duanya mana lebih memberi kepuasan kepada anda?
Dalam fotografi, ada ‘peraturan’ ditetapkan dan banyak aspek teknikal perlu dipelajari. Lomografi pula lebih bebas dan berlandaskan peraturan utama iaitu don’t think, just shoot.
Hasil fotografi (digital) pula kebanyakannya dapat dibayangkan. Ini berbeza dengan lomografi di mana hasilnya tidak dapat dijangka. Namun, ia memberi kepuasan yang tinggi.
Inilah yang mendorong kita melakukan eksperimen ketika merakamkan gambar. Ini tentunya berbeza dengan fotografi digital yang lebih bergantung kepada perisian komputer untuk mencantikkan gambar yang dirakam.
Sehubungan itu, fotografi digital boleh disifatkan tidak asli berbanding hasil seni lomografi.

Apa tarikan seni lomografi hingga menjadikan anda berminat dengan seni ini?
Pada mulanya, saya tertarik dengan kesan dan keaslian gambar yang dihasilkan kamera jenis ini (kamera lomo). Hasilnya cukup unik dan tidak dapat dibuat menggunakan perisian komputer.
Lebih menarik, semua hasil gambar bermula daripada proses percubaan atau eksperimen. Setiap gambar yang dirakam adalah berbeza antara satu sama lain walaupun kedua-duanya dirakamkan di lokasi, sudut, kamera, filem dan penyelarasan (setting) yang sama.

Apa keseronokan yang diperoleh apabila bergelar seorang lomographer?
Pertama, menjadi lain daripada lain. Seperti yang dapat dilihat, kelompok atau scene lomografi masih kecil di Malaysia. Zaman ini boleh dikatakan sebagai era DSLR iaitu kamera digital.
Saya bangga menggunakan filem dan kamera biarpun ia kelihatan agak pelik dan unik. Kamera lomografi selalu menjadi perhatian mereka yang tidak mengenali atau tidak pernah melihatnya.
Selain itu, keseronokan timbul apabila gambar yang dirakamkan menghasilkan foto yang tidak dijangka. Rasa teruja kerana apabila kita merakamnya, kita tidak dapat meramalkan bagaimana gambar yang dihasilkan.

Apakah sasaran atau matlamat penubuhan Lomokids sejak tiga tahun lalu tercapai?
Ketika ini, ada beberapa sasaran yang belum tercapai. Walaupun nama Lomokids semakin dikenali serta aktif menyertai acara seni serta acara besar seperti Youth 2009 dan juga Sunburst 2009, saya fikir semua itu belum mencukupi.
Matlamat utama saya dan tiga rakan iaitu Mohd Idzwan Latif, Muhamad Reza Ramli dan Ismail Arsad yang menubuhkan Lomokids adalah untuk mengembangkan seni lomografi agar ramai menghargainya.
Selain itu, Lomokids mensasarkan membuka kedai Lomo untuk menjual barangan lomografi. Jika ini dilaksanakan, ia menjadi kedai lomografi pertama di Malaysia. Semua ini masih dalam perancangan.
Sehubungan itu, kami sedang berusaha mendapatkan kerjasama dari wakil lomografi Asia yang berpangkalan di Hong Kong.

Bagaimana anda dan penggiat aktif Lomokids memastikan komuniti ini bukan sekadar forum lomo tetapi memberi manfaat kepada mereka yang menyertainya?
Lomokids sentiasa berbincang dengan ahli mengenai aktiviti yang ingin dilakukan sepanjang tahun.
Kebanyakan perbincangan akan menjurus kepada hala tuju Lomokids dan pertemuan penggiat Lomokids di seluruh Malaysia.
Melalui perbincangan ini, hubungan antara ahli Lomokids menjadi lebih akrab malah ibarat sebuah keluarga besar.

Aktiviti bagaimana sering dianjurkan Lomokids dan tujuannya?
Lazimnya, kami akan keluar beramai-ramai dan melakukan penggambaran pada hujung minggu di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Selain itu, Lomokids setiap tahun meraikan hari penubuhan komuniti ini dengan tema khusus, Lomokids Big Day Out. Kami juga selalu meraikan hari lahir ahli Lomokids yang aktif.
Kita juga menganjurkan program outing membabitkan ramai ahli. Destinasi outing selalunya tertumpu di tempat bersejarah, pelancongan dan pelbagai destinasi menarik. Semua aktiviti ini diadakan untuk merapatkan silaturrahim antara ahli serta berkongsi idea mengenai seni ini.

Sepanjang bergiat aktif dengan lomografi dan Lomokids, apakah peristiwa atau kenangan yang tidak dapat dilupakan?
Terlalu banyak. Antara yang pahit ialah ketika awal pembabitan saya dalam bidang ini, saya sering dikutuk kerana menggunakan kamera lomo yang dikatakan gajet ketinggalan zaman.
Namun, sekarang terbukti bidang lomografi mampu membuatkan kita pergi jauh. Saya meningkatkan kemahiran menggunakan kamera lomografi dan sekarang, saya sudah pun bergelar jurugambar profesional.
Kenangan manis bagi saya ialah melihat Lomokids mencapai tahap sekarang dan sering diundang memeriahkan acara-acara besar.

Mengapa ada pihak cuma aktif dalam bidang lomografi bagi suatu tempoh singkat saja?
Ini kerana mereka tidak mempunyai minat mendalam sebaliknya hanya mengikut aliran atau kawan-kawan saja. Dalam lomografi, minat dan kesabaran tinggi perlu kerana untuk mendapatkan foto cantik, bukan semudah menekan butang kamera saja.

Apa idea yang untuk memperluaskan Lomokids?
Ada juga idea supaya lomografi dijadikan aktiviti kelab di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Ramai ahli Lomokids masih bergelar pelajar dan menuntut di IPT, jadi saya percaya ini mampu diperluaskan lagi.
Selain itu, kami merancang menerbitkan dokumentari mengenai Lomografi; mengadakan pameran dan juga bengkel selain mendekati media massa supaya seni lomografi dapat diperluaskan lagi.

Biodata Mukhriz

Nama penuh : Mukhriz Abd Latif
Umur : 28 tahun
Asal : Johor Bahru
Tinggi : 172 sentimeter (sm)
Berat : 68 kilogram (kg)
Hobi : Lomografi, fotografi dan berbasikal

SUMBER : BERITA HARIAN

No comments: